SEJARAH SEKOLAH

 

   Catatan sejarah sekolah ini bermula pada awal tahun 1970 apabila terbinanya sebuah kompleks tentera Membedai. Penubuhan sekolah tersebut pada awalnya bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak tentera. Namun begitu pertambahan pelajar di SMK Labuan(satu-satunya sekolah menengah ketika itu) telah mendesak JPN Sabah mencari inisiatif untuk menempatkan pelajar berkenaan. Hasil perbincangan di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan JPN Sabah, sekolah tersebut dijadikan sekolah Menengah. Oleh itu pada awal tahun 1971 sekolah berkenaan telah dijadikan sekolah menengah dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai.

   Sepanjang usia 25 tahun iaitu dari tahun 1971 hingga 1996, Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai hanya menawarkan pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja. Pada tahun 1997 SMK Membedai telah membuka kelas tingkatan empat aliran sastera dan seramai 120 orang pelajar telah ditawarkan. Pada awal tahun 1971 dengan rasminya Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai telah ditubuhkan. En Mak Yun Ken merupakan Penolong Kanan 1 pada masa itu telah dilantik menjadi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai yang pertama.

   Pada oktober 2001 Blok A SMKM telah dirobohkan untuk naik taraf di bawah peruntukan Jabatan Pendidikan Negeri sehingga melibatkan empat buah kelas tingkatan lima, surau, makmal komputer, bilik APD dan pusat sumber. Pada bulan yang sama juga Blok B pula dirobohkan dibawah peruntukan Kementerian Pertahanan Malaysia, pada masa itu sekolah menghadapi masalah kekurangan kelas , bagi mengatasi masalah tersebut bengkel kemahiran hidup dan dewan telah digunakan untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dan kelas-kelas sementara diwujudkan.

Perpindahan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan 2(bangunan baru)  berlangsung pada 2 November 2002 dengan mengekalkan nama SMK Membedai bagi melicinkan urusan pentadbiran.

Pada 6 Mei 2003 SMK Membedai telah ditukar nama kepada SMK Mutiara dan didaftarkan sebagai sekolah menengah harian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 17 Jun 2003. Nama sekolah dipilih sempena Pulau Labuan yang dikenali sebagai Pulau Mutiara Laut China Selatan dan ia juga dipersetujui dalam mesyuarat Ibu Bapa dan Guru.

Sumber rujukan: TINTA 2007