Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Sempena Karnival Keusahawanan PIBG SMK Mutiara 2018

Bidang Kreativiti dan Inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah menganjurkan Pertandingan Kreativiti dan Inovasi sempena Karnival Keusahawanan PIBG SMK Mutiara pada Sabtu, 20 Oktober 2018 di Dewan Semarak SMK Mutiara.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin berkenan merasmikan pertandingan ini. Turut hadir ialah Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Ketua Unit Perhubungan, Pendaftaran, dan Pendidikan Swasta, Encik Louren Abon, Pengetua SMK Mutiara, dan Yang DiPertua PIBG SMK Mutiara, Puan Liza anak Didi. Encik Raisin dalam ucapannya menggalakkan guru-guru untuk mengembangkan potensi murid-murid agar seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan dapat bertanding di peringkat yang lebih tinggi seterusnya mengharumkan nama sekolah dan Labuan.

 

Menurut Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi merangkap pengurus program, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, seramai 26 peserta telah menyertai pertandingan tersebut. 5 orang mengetengahkan produk kreatif dan inovatif pengajaran dan pembelajaran di bawah secara individu dan 7 kumpulan bertanding untuk pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah.

 

Dr. Hyginus turut menambah bahawa pertandingan terbuka tersebut turut disertai oleh guru prasekolah dan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang lain. Beliau melahirkan rasa bangga kerana 10 produk adalah hasil terbaharu guru SMK Mutiara sendiri tahun ini. Menurutnya lagi, produk tersebut akan mendapat bimbingan lanjut untuk dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun depan.

 

Antara inovasi pembelajaran dipamerkan ialah I SPY 5 Starflowers, satu lagi inovasi terbaharu Dr. Hyginus sendiri yang membantu murid menguasai subject-verb agreement dan plural nouns Bahasa Inggeris menggunakan kelopak bunga. Beliau berkata bahawa pembelajaran sebelum ini banyak menggunakan jadual dan murid berasa keliru dengan pelbagai jenis jadual yang disyorkan sehingga tidak dapat diaplikasi dalam tugasan harian. Penggunaan bunga pula adalah lebih kreatif dan menjadikannya mudah diingati.

 

Inovasi pengurusan maklumat sekolah pula dipersembahkan oleh Kumpulan Karisma, sebuah kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) SMK Mutiara. Pengurusan maklumat menjadi lebih sistematik dan berkesan dengan terciptanya Sistem e-Merit Mutiara (SeMMut). SeMMut diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai satu sistem pemberian markah merit kepada murid yang terlibat dalam pelbagai aktiviti dan sahsiah positif dan terpuji di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan, dan antarabangsa. Sistem ini telah digunapakai secara meluas oleh warga sekolah sejak Mac 2018. Ahli Kumpulan Karisma terdiri daripada Puan Junaidah Baharuddin, Cik Norzuliana Abd Hamid, Puan Wan Nor Fadzlina W. Mahadzer, Puan Shamsiah Ambo, Puan Angela Joseph, Puan Syazwanie Mohd Zaid, Encik Mohd Asrul Jais, Puan Onnia Ahngol, Puan Nor Ashikin Ali, Encik Kamil Rajab, dan pembimbing, Dr. Hyginus Lester.

 

Penilaian produk kreatif dan inovatif dijalankan oleh pegawai Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan, Encik Pgn Abdul Kadir bin Pgn Budin dan Puan Chin Tsuey Wei yang berpengalaman dalam inovasi dan bimbingan pengajaran. Mereka memuji kesungguhan guru-guru dalam menghasilkan inovasi yang dapat membantu murid belajar secara aktif dan bermakna.

Lima hadiah utama dipertandingkan berupa sijil pencapaian Anugerah Pilihan Hakim dan pingat emas. Salah satu pemenang tersebut ialah ROGABA. Inovasi Panitia Bahasa Melayu SMK Mutiara ini membantu murid belajar gaya bahasa dengan mudah menggunakan inovasi ROGABA. Alat bantu mengajar ini menggunakan tiga roda berlainan saiz di mana murid memahami istilah, definisi, dan contoh-contohnya. Guru terlibat ialah Encik Mohd Yusop Mohammad, Cik Norsuziana Amnor, dan Encik Shafiq Abdul Aziz.

 

Turut memenangi hadiah utama ialah produk “YN Puzzle” oleh gabungan Panitia Sejarah dan Biologi SMK Mutiara yang dianggotai oleh Puan Ihya Fatimah Rangkuti Ishak, Nurul Sulresza Aida Zulkifli, dan Nurul Fairzu Husna Jailani, inovasi “Batasusirum” oleh Puan Siti Aisyah Asis (SM St Anne), “Smart Fan” oleh Panitia Reka Bentuk dan Teknologi SMK Mutiara (Puan Felicia Dorothea Jeffrey Ajang, Cik Mary Bong, dan Puan Kimnon Chong Kiat), dan Kit Mengenal ABC oleh Program Pendidikan Khas dan Integrasi (Puan Masitoh Hassan, Cik Rosnani Sahari, dan Encik Mohd Khairul Ikhsan). Anugerah Khas Hakim berupa sijil disampaikan kepada Puan Syayuzie Omar daripada Panitia Pendidikan Islam. Hadiah disampaikan oleh Yang DiPertua PIBG SMK Mutiara, Liza anak Didi.

 

Peserta lain ialah Encik Samih bin Kukung (ReCo Smart Board, SK Lubok Temiang), Puan Angela Joseph, Puan Norlina Zaini, dan Puan Martina Abdullah (Mudah Faham Konsep Elektrik, SMK Mutiara), Puan Siti Raudzhah Hashim (Tabuk Matrks, SMK Mutiara), Mohd Nazri Mustapa, Puan Diana Gevais, dan Encik Mohd Asrul Jais (Single Idol, SMK Mutiara)

 

Pengetua SMK Mutiara, Encik Louren Abon menyatakan bahawa pertandingan seperti ini telah menggalakkan guru-guru agar mencari alternatif pengajaran yang lebih kreatif, inovatif, dan efektif dan tidak hanya tertumpu kepada buku teks semata-mata.

 

 

 

Pemenang bersama Dr Hyginus dan Puan Liza (YDP PIBG SMK Mutiara)
Perasmian Pertandingan Dari kiri: Zaliha Mohd Salleh, Louren Abon, Dr Hyginus Lester, Raisin Saidin, Junaidah Baharuddin (Setiausaha PIBG) dan Liza anak Didi (YDP PIBG)

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*