Memperkukuh STEM Melalui Pertandingan School Lab

15 Mac –SMK MUTIARA  telah pun menyertai pertandingan School Lab antara sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh  Jabatan Pendidikan melalui Unit Sains dan Matematik.

Menurut Encik Imbran Yunus, Ketua Unit Sains dan Matematik sebanyak lapan pasukan layak ke pertandingan akhir dalam pertandingan yang julung kali diadakan sebagai sokongan kepada inisiatif STEM. Setiap pasukan diwakili oleh 3 hingga 5 murid Tingkatan 1 hingga 3 dan dipersembahkan dalam tempoh 3 hingga 5 minit. Tema persembahan meliputi tajuk-tajuk yang terdapat di dalam kurikulum mata pelajaran Sains.

Pengarah Pendidikan Jabatan WP Labuan, Encik Raisin Saidin telah merasmikan pertandingan ini  yang bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN). Dalam ucapannya, beliau berharap agar aktiviti ini dapat menimbulkan minat mendalam murid kepada STEM dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik murid selaras dengan slogan Kecemerlangan Akademik Kebitaraan Labuan.

Pembelajaran STEM adalah antara agenda yang diberikan penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) giat berusaha memantapkan pendidikan STEM untuk menarik lebih ramai murid menceburinya di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak. Selaras dengan matlamat pendidikan kebangsaan yang bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan iaitu intelek, jasmani, rohani dan emosi, pembelajaran STEM berperanan membantu murid agar dapat membina kepakaran diri secara kolektif dan menyiapkan diri dalam pertanggunjawaban sosial.

Encik Raisin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan sekolah SMK MUTIARA  yang mendapat tempat pertama dan tahniah juga kepada semua pasukan yang berani menyahut cabaran dengan menyertai pertandingan ini. Semoga pertandingan ini bukan hanya mengejar kemenangan semata-mata tetapi harus dilihat sebagai suatu pembelajaran bagi mencipta kejayaan di masa mendatang.

Turut hadir, Puan Maszuraini binti Miswan, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah Hj. Ab Moin.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*