SMK Mutiara Juara MSSWPL 2017

1 Apr Upacara penutupan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung meriah dalam suasana yang cukup harmoni di Kompleks Sukan Labuan,  hari ini.

Ketibaan ahli parlimen P166 Labuan YB Datuk Rozman Datuk Hj Isli dan Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan,  Encik Raisin Saidin serta tetamu terhormat disambut dengan paluan kompang oleh anak-anak murid Labuan.

Upacara dimulai dengan perarakan masuk dan lintas hormat kontinjen perbarisan sekolah-sekolah yang bertanding.  Seterusnya ucapan aluan oleh Puan Mahani Hussin, Guru Besar SK Pantai  pengelola bersama SMK Pantai IBWS pada kejohanan kali ini.

Majlis penutup temasya kejohanan disempurnakan oleh YB Datuk Rozman Datuk Hj Isli. Dalam ucapannya,  kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang,  perkara yang lebih penting ialah memberi pendidikan secara tidak langsung kepada para atlet. Kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha,  ketekunan,  perancangan yang rapi dan pengorbanan.

Ucapan perasmian oleh YB Datuk Rozman

“Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan,  menjalin sifat hormat menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang berjiwa kental dan bersemangat patriotik”, katanya lagi.

Penonton yang hadir dihiburkan dengan acara balapan 4×200 meter,  4×400 meter kategori lelaki,  perempuan sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Sokongan yang padu oleh penonton menghangatkan lagi suasana di Kompleks Sukan, seterusnya menaikkan semangat para atlit mencipta rekod baharu kejohanan.

 

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian pingat kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin,  Pengarah pendidikan Negeri.

Kalungan emas dan rekod baharu 4×400 L15 SMK Labuan oleh Encik Raisin

Dua puluh lapan kontinjen yang bertanding termasuk Kolej Vokasional Labuan dan Sekolah Antarabangsa Labuan.

SMK Mutiara mengekalkan kejuaraan, unggul dengan 20 emas,  14 perak dan 13 gangsa. SMK Labuan tidak kurang hebatnya dengan 12 emas, 10 perak,  6 gangsa dan SBT SM Sains Labuan 7 emas,  13 perak,  19 gangsa.

SK Lubok Temiang ‘Tatap Majal’ mengungguli sekolah rendah dengan 6 emas,  1 gangsa diikuti SK Kerupang 4 emas,  2 perak,  2 gangsa dan SKK SK Rancha-Rancha 3 emas,  1 perak,  1 gangsa.

Kontinjen SM St Anne dan SK Sungai Bedaun dinobatkan sebagai Johan perbarisan kategori menengah dan rendah pada kali ini.

SMK Rancha-Rancha dan SK Tanjung Aru akan menjadi tuan rumah bersama pada edisi berikutnya pada tahun 2018.

Sumber :  JPWPL SanaSini

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*